MINGGU lalu, ribuan orang menangis lagi. Semuanya gara-gara pertandingan akhir Akademi Fantasia musim kelima (AF5). Ada yang sedih apabila calon idola mereka tewas dan mungkin juga gembira bila pilihan mereka menang.
Kadang-kadang kita dapat menyimpulkan terlalu mudah untuk menumpahkan air mata seseorang. Cukup dengan memutarkan sebuah filem, mendeklamasi sebuah sajak atau mendendangkan sebuah lagu.
Kita tidak pernah tahu berapa ramai penonton menangis selepas menyaksikan persembahan realiti televisyen seperti AF sejak pertama kali diadakan lima tahun lalu.
Menangis adalah bahasa yang terlalu sukar difahami. Orang akan menitiskan air mata untuk sebuah kegembiraan. Dan, orang juga menangis bagi menyatakan kesedihan atau kekecewaan.
“Manusia sebenarnya dapat dikendalikan oleh keadaan-keadaan objektif di sekeliling yang akan mempengaruhi emosinya,” tulis pemikir Herbert Marcuse dalam bukunya One Dimensional Man.
Memang pendapat beliau dalam buku itu terlihat pesimistik dan cenderung deterministik iaitu mengutarakan manusia sebagai makhluk sosial yang lemah.
Namun, dalam konteks AF5 dan pelbagai program realiti televisyen di Malaysia, pendapat Marcuse mungkin benar. Kita adalah makhluk sosial yang mudah dipengaruhi dan dimanipulasi oleh media serta persekitaran.
Masyarakat (majoriti orang Melayu) kita sebenarnya telah menjadi sebuah komoditi dalam hedonisme televisyen. Kita ghairah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengundi tanpa disedari kita merupakan objek komersial yang diperdagangkan untuk keuntungan.
Dalam suatu analisisnya yang cukup menarik, Jurgen Habermas menyimpulkan tentang pembentukan identiti manusia dalam entiti global. Beliau melihat bahawa usaha-usaha manusia dalam membentuk jati dirinya sangat dipengaruhi oleh ideologi agama atau oleh Hans-Geog Gadamer dikatakan kesan daripada globalisasi.
Habermas turut merumuskan krisis manusia global hari ini juga berkaitan dengan kapitalisme-neoliberalisme yang akan ‘menyeret’ mereka untuk mengadaptasi realiti yang berada di luar ke dalam diri mereka.
Dengan kata lain, apa yang ada di dunia global dimasukkan dalam dunia tempatan dan sebaliknya akibat kewujudan dunia tanpa sempadan serta kecanggihan teknologi.
Di Perancis, Jacques Derrida pula melihat konsep timbal balik tersebut dengan lebih terperinci iaitu indentiti yang berlawanan; Barat-Timur atau Islam-bukan Islam.
Analisis ini kemudian dikembangkan lebih jauh oleh Gayatri Spivak. Dalam eseinya, Can the Subaltern Speak? (1988) beliau berpendapat bahawa kekuatan neoliberalisme yang menyebabkan bercambahnya rangkaian restoran McDonald atau wacana filem menjadi tertumpu di Hollywood.
Dalam wacana globalisme, jika mengambil pendapat Habermas, ia memerlukan sikap kritis dalam melakukan transformasi dari satu nilai ke nilai yang lainnya.
Pandangan itu kemudian dikembangkan lebih terperinci oleh pengkritik-pengkritik poskolonial dari berbagai belahan dunia yang lain.
Di Jerman sendiri muncul beberapa nama pengkritik poskolonial mutakhir seperti Klaus Stierstorfer dan Laurenz Volkmann yang menekankan pentingnya keupayaan kritikan dalam kurikulum pendidikan multibudaya.
AF dan semua program televisyen realiti yang menjadi pujaan masyarakat kita hari ini adalah sebahagian daripada neoliberalisme.
Media yang menjadi medium antara kelompok kapitalisme dan masyarakat dimanipulasi untuk memperluaskan cengkaman mereka bagi meraih keuntungan atau neokolonialisme jika meminjam istilah Alvin Toffler dalam bukunya Powershift: Knowledge, Wealth and Violence at the Edge of the 21st Century (1990).
AF pada berasal daripada sebuah program televisyen realiti di Mexico. Begitu juga Malaysian Idol yang diadaptasi daripada American Idol.
Setiap generasi nampaknya mempunyai zaman dan produknya tersendiri. Hari ini banyak produk zaman seperti Gucci, Louis Vuitton, Armani, Prada, Dunhill, Zegna, Ferragamo, Tiffany & Co, Tuleh, Mulberry, Issey Miyake, Kate Spade, Escada, Cartier, Fendi, Chanel, Diesel, Chloe, Hermes, Coach, Polo dan Ralph Lauren.
Program realiti televisen yang sering ‘menumpahkan air mata’ penonton-penonton kita hari ini juga merupakan sebahagian daripada produk zaman dan strategi yang dibawa oleh neoliberalisme-kapitalisme.
Tetapi kerana kita tenggelam dalam hedonisme yang didedahkan dengan bermacam-macam keasyikan, makna sebenar di sebalik program-program tersebut diabaikan.
Percaya atau tidak, segelintir daripada kita menghabiskan puluhan hingga ribuan ringgit semata-mata untuk mengundi calon pilihan mereka tanpa disedari kita sedang dimanipulasi oleh neoliberalisme.
Agak aneh, hedonisme terhadap program televisyen realiti itu hanya ‘melanda’ masyarakat Melayu yang sanggup bergolok-bergadai untuk mengundi anak, saudara atau calon yang mereka pilih.
Kaum lain? Mereka lebih senang mengumpul wang bagi tujuan pendidikan tinggi dan masa depan anak-anak mereka. Bukannya sanggup berhutang bagi memastikan anak mereka menjadi penyanyi.
Adakah orang Melayu sedang menghadapi sebuah tragedi atau teperangkap dalam budaya konsumerisme yang diciptakan oleh kapitalisme-neoliberalisme?
dipetik dari Utusan Malaysia 31 Mei 2007
Firman Allah SWT; " dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui " (al-Ankabut:64)
Thursday, May 31, 2007
Perlunya remaja hidup dalam lingkaran syarak Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA
FAKTOR syarak dalam kehidupan Islam bermaksud memberikan batasan dan pedoman supaya jalur kehidupan berada dalam batasnya. Jalur syarak juga mentertibkan insan supaya terus berada dalam fitrah. Kehidupan yang fitrah adalah kehidupan yang serasi dengan syarak dan ia membawa barakah.Keyakinan manusia kepada faktor yang nyata dengan pedoman faktor yang ghaib akan membimbing manusia ke jalan hidup yang sebenarnya. Agama mengaturkan kehidupan yang baik untuk manusia. Syarak adalah sendi utama pedoman manusia menuju ke jalan yang diredhai atau sebaliknya. Faktor manusia tidaklah mutlak untuk memberikan kawalan dan pedoman. Faktor Ilahi menunjukkan pedoman yang terbaik untuk manusia. Menjadi manusia yang hidup berteraskan syarak menjadikannya hamba yang sentiasa patuh, akur, taat dan tunduk kepada-Nya. Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia dan peraturan ada batasnya. Kepatuhan dan ketaatankepada Allah adalah telus kepada-Nya dan tidak ada hijab yang menghalangnya. Walaupun apa yang kita lakukan manusia lain mungkin tidak mengetahui tetapi di sisi Allah ia diketahui.Untuk menjadi seorang remaja Islam yang baik dan beriman mematuhi faktor syarak adalah suatu tuntutan dan kewajipan. Faham tentang batas dosa dan pahala, tahu tentang batas halal dan haram, mengerti tentang situasi fasad dan mungkar, maklum tentang wajib dan harus memberikan remaja pedoman yang terbaik dalam hidup. Menjadi remaja menyebabkan banyak cabaran yang menunggu. Sekadarpertimbangan akal dan nafsu semata tidak ada jaminan jalur syarak dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional saja tidak memadai jalan syarak diikuti. Sekadar berpandukan orang ramai melakukan maka tiada salahnya remaja melakukannya belum ada jaminan ia selari dengan syarak.Remaja harus yakin bahawa keyakinan kepada jalur syarak memberikan landasan keimanan yang teguh. Iman yang teguh menghubungkan remaja kepada Penciptanya dan Pengatur alam dan kehidupan ini. Ia bukan bermakna remaja tidak menggunakan pertimbangan akal. Akal hanya alat yang belum tentu sempurna dalam memandu apa yang difikir dan dibuat tanpa pedoman syarak. Pertimbangan akal mungkin boleh menyuluh remaja ke jalan yang betul dan belum tentu membimbing ke jalan yang benar. Kebenaran ada pada jalan syarak kerana darinya manusia melakukan sesuatu berasaskan hukum-hakam dan peraturan Allah. Secara akal memang betul dijadikan lelaki dan perempuan dengan sifatnya berpasang-pasang. Secara akal fitrah teruna dan dara memiliki perasaan cinta dan sayang yang tinggi. Secara akal juga memang perempuan memiliki daya tarikan yang tinggi terhadap lelaki. Haiwan juga sedemikian. Jantan dan betina dijadikan berpasang-pasang. Naluri nafsu dan keinginan tidak mengira tempat dan keadaan. Kadang-kadang bunuh membunuh menjadi kelaziman. Pada remaja Allah berikan akal bagi membolehkan proses berfikir berlaku. Pada remaja Allah kurniakan hati untuk memberikan timbangan yang baik terhadap salah benarnya sesuatu. Faktor manusiawi yang ada pada remaja membolehkan remaja mencontohi sesuatudaripada yang lebih dewasa dan lebih arif tentang hukum hakam. Faktor manusiawi juga membolehkan remaja mendapat pedoman dari ibu bapa dan guru tentang salah benarnya sesuatu. Dari situ jiwa keinsanan wujud dan pedoman keihsanan lahir. Faktor syarak tidak harus dianggap sebagai sifatnya menghalang dan membelenggu. Sifat alam dan sifat manusia mempunyai batasan. Bintang-bintang dan planet, sistem solar dan bimasakti, perjalanan galaksi dan sistem radiasi mempunyai batasan dan landasan. Alam dan planet yang banyak diurus di bawah sunnatullah atau ketentuan Allah. Manusia dan kehidupan sekitarnya diurus berasaskan fitrah. Sunatullah dan fitrah memiliki kesalingan. Mempelajari secara mendalam sunah Allah memberikan manusia pedoman tentang kehidupan yang fitrah.
Source from Utusan Malaysia 31 Mei 2007
From Friendster Bulletin Board; Roy
Source from Utusan Malaysia 31 Mei 2007
From Friendster Bulletin Board; Roy
Subscribe to:
Posts (Atom)